Sunday, November 22, 2009

Ikan, Ikan, ikan, mari beli Ikan

Ada di antara kita yang suka makan ikan air tawar, ada juga yang suka makan ikan parang, tenggiri dan sebagainya. Bercakap mengenai ikan, saya teringat ada pepatah Cina lama yang mengatakan “berikan seseorang itu seekor ikan, dia akan hidup untuk sehari. Ajar seseorang itu cara menangkap ikan, dia akan hidup sepanjang hayatnya


Kalau dikupas pepatah itu, dalam maksudnya. Sekiranya seseorang itu atau pun sesuatu bangsa itu selalu ditolong sahaja untuk mendapatkan sesuatu dengan cara memberi apa yang diingini tanpa diajarkan cara untuk mendapatkannya, sebenarnya kita tidak menolong mereka. Ini akan menjadikan mereka golongan yang sentiasa mengharapkan pertolongan orang lain dan meminta-minta. Seseorang itu atau pun sesuatu bangsa itu akan sentiasa meminta ikhsan orang lain.

Ini akan menjadikan mereka kurang berkeyakinan untuk menghadapi cabaran arus kehidupan, lemah-lesu, moyok, letih dan takut untuk menghadapi kehidupan. Manakala jika kita tunjuk ajar seseorang itu bagaimana untuk memperolehi sesuatu itu, ini sudah tentu akan memberkan dia ilmu untuk membaiki dirinya.


Saya selalu menekankan prinsip ini kepada pelajar-pelajar saya. Belajar di universiti memerlukan kewangan yang banyak. Sebagai contoh; pelajar jurusan arkitek memerlukan wang untuk projek-projek, peralatan, dan pembinaan model. Pelajar jurusan pengurusan memerlukan wang bagi membuat penyelidikan di luar kampus. Semuanya memerlukan wang. Saya selalu menegaskan kepada mereka supaya berusaha untuk mendapatkan wang dan tidak lagi menunggu atau terlalu mengharapkan wang dari keluarga terutama ibubapa.


Bagaimana? Saya selalu menekankan supaya mereka menggunakan kepakaran, ilmu serta kekuatan mereka. Diajarkan kepada mereka cara untuk menjana pendapatan dari kepandaian mereka. Kita perlu berdikari dan merebut peluang yang berada di sekeliling kita. Sebagai contoh, jika fakulti saya ingin membuat kain rentang, saya selalu memberikan projek ini kepada pelajar-pelajar untuk membuat kain rentang untuk sesuatu seminar atau pun bengkel yang dianjurkan oleh fakulti saya.


Kain rentang yang telah disiap harganya sekitar RM150 setiap satu. Katalah pihak fakulti ingin mendapatkan 4 kain rentang, ini bermakna RM600 akan dapat diperolehi oleh seseorang pelajar itu. Sudah tentu, untungnya kepada pelajar tersebut sekurang-kurangnya RM300. Nah, cara inilah kita telah mengajar mereka cara mencari wang atau pun menjana pendapatan semasa belajar.


Ini sudah tentu akan mengajar mereka untuk lebih bersemangat, tidak sangat mengharapkan pertolongan orang lain, disamping boleh mempraktikkan apa yang dipelajari di bilik kuliah


Bangsa Melayuku, untuk menjadi bangsa yang maju dan perkasa, kita perlu berusaha sendiri dengan lebih gigih serta tekun lagi. Giatkan usaha kita. Bukalah mata kita. Bukalah minda kita. Dan bukalah hati kita. Elakkanlah daripada terlalu mengharapkan pertolongan orang lain atau subsidi.


Belajarlah sesuatu ilmu itu dan praktikkan dalam kehidupan kita. Berikan seseorang itu seekor ikan, dia akan hidup untuk sehari. Ajar orang itu cara untuk menangkap ikan, insyAllah dia akan hidup sepanjang hayatnya.

Oki doki, fikir-fikirin

3 comments:

Nazreen B Abd Latif @ Yaacob said...

sangat2 suka post ini.
saya pun ada terlibat dalam perniagaan sendiri bersama kawan saya, masih dalam peringkat permulaan, agak kekok la sebab x biasa.
saya pun rasa kalau tidak diaplikasi ilmu yang kita dapat, sangat menbazir duit yuran yang kita bayar setiap semester.
belajar hanya untuk jawab exam - budaya mahasiswa malaysia

AFFENDI HASHIM said...

Yen, tahu tak ape. hehehehe

TSDNAN said...

Teach a man to fish and you feed him for a lifetime